~Ayah~

Posted by ألفة | Posted in


Tika berjauhan
Masihku rasa hangat kasihmu ayah
Betapaku rindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku

Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan………..


Berkumandang lagu ‘Ayah’ melalui telefon bimbitku yang ku pasang setelah penat menelaah nota-nota pembelajaranku. Terimbau kembali saat-saat manis antara ayah dan aku.
Teringat aku akan kata-kata seorang penceramah motivasi dalam program kecemerlangan yang aku hadiri.
 “Cuba kamu semua bayangkan, ketika kamu sedang belajar di dalam kelas, tiba-tiba namamu dipanggil oleh pengetua untuk berjumpa dengannya di pejabat. Lalu kamu diberitahu, kamu perlu pulang segera ke kampung kerana salah seorang ahli keluargamu sudah tiada lagi. Apabila tibanya kamu di rumah, kelihatan ramai orang berada di halaman. Kedengaran bacaan yaasin yang datangnya dari arah rumah kamu. Masuk saja kamu ke dalam rumah, terbaring sekujur tubuh yang kaku di hadapan kamu. Bayangkan tubuh kaku itu ialah ayah kamu atau ibumu atau sesiapa sahaja yang kamu sayangi……”
Aku langsung tidak menyangka bahawa analogi itu berlaku ke atas diriku sendiri. Aku masih lagi mengingati tarikh bersejarah itu, 13 Februari 2004. Lebih kurang jam 10.00 pagi, aku berada di dalam kelas tingkatan 2 Farabi, menunggu kedatangan guru untuk sesi pembelajaran seterusnya. Sementara menunggu, aku dan beberapa kawan yang lain berborak-borak sesama kami. Tiba-tiba kelas kami didatangi oleh seorang guru, tetapi beliau bukanlah guru yang mengajar kami pada waktu itu. Beliau ialah Penolong Kanan Pentadbiran di sekolah kami. Apabila tiba sahaja di muka pintu, dengan memegang sehelai kertas kecil di tangan kanan, beliau menyebut namaku sambil matanya tertancap pada kertas tersebut. Tersentak aku dengan panggilan tersebut. Aku tertanya-tanya sendirian, adakah aku telah melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan sekolah? Tanpa berlengah lagi, aku terus meluru ke hadapan mendapatkan guru tersebut. Lantas, aku bertanya, atas sebab apa aku dipanggil? Beliau berkata padaku bahawa Pengetua memanggilku dan ingin berjumpa di pejabat. Terus sahaja guru tersebut membawaku turun ke pejabat memandangkan kelasku berada di tingkat 4 manakala pejabat berada di tingkat 2. Aku mengekorinya tanpa mengetahui sebabnya. Setibanya aku di hadapan pintu pejabat, kelihatan seorang lelaki yang amat aku kenali sedang berborak dengan Pengetua sekolah. Aku dan guru yang membawaku menghampiri mereka berdua.
Lalu, Pengetua sekolahku bertanya, “adakah kamu kenal siapa bersebelahan dengan saya ini?” tanpa banyak soal, aku terus mengangguk, menandakan aku kenal lelaki tersebut.
“Ya, dia pak long saya.” Mungkin beliau hendak mengujiku sama ada aku kenal atau tidak lelaki yang mengaku mengenaliku. Maklumlah, kes penculikan sangat berleluasa pada masa sekarang ini.
“Jom, kemas beg. Kita balik kampung,” kata pak longku padaku.
“Balik? Kenapa?” persoalan itu hanya bermain di fikiranku, tidak terzahir dengan kata-kata.
“Beg sekolah ada kat dalam kelas. Nanti saya ambil,” balasku. Segera aku menaiki tangga yang agak tinggi untuk sampai ke kelasku.
 “Ulfah, muka hang pucatlah. Kenapa pengetua panggil hang?” Tanya kawan-kawanku apabila aku tiba di kelas.
“Entahlah. Pak long aku datang tadi. Dia ajak aku balik. Aku balik dululah. Assalamualaikum,” aku membalas pertanyaan kawan-kawanku sambil tanganku ligat mengemas buku-buku dan peralatan tulis untuk dimasukkan kedalam beg galasku. Sebaik saja siap, aku terus turun ke tingkat 2 mendapatkan pak long. Pak log membawa aku ke asrama puteri , memberi peluang kepadaku mengemas pakaian untuk dibawa pulang. Setelah selesai semua urusanku, aku kembali ke kereta pak long. Aku mengambil tempat di sebelah pak long. Sepanjang aku berada dalam kereta, aku langsung tidak bertanya ataupun bersembang dengan pak long. Aku dapat melihat mata pak long kemerah-merahan. Aku berasa takut untuk bertanya. Semua persoalan yang ingin aku tanyakan hanya bermain-main di dalam kotak fikiranku sahaja. Aku mula berfikir yang bukan-bukan. Telahanku, mungkin ada ahli keluargaku yang meninggal. Ayah? Mak? Abang? Kakak? Atau adik-adik, win atau idat? Tapi, aku cepat-cepat menepis segala telahan itu.
“Kita pergi rumah pak long dulu. Kakak ada di sana,”kata pak long. Rumah pak long terletak di Taiping, Perak. Perjalanan dari sekolahku, SMKA Kerian, Semanggol ke rumahku, Pantai Remis akan melalui Bandar Taiping. Jadi, tiada masalah untuk singgah ke rumahnya. Pada masa itu, kakak yang berada di tingkatan 4 bersekolah di SMK Dr.Burhanuddin. Mak long yang menjadi Penolong Kanan Pentadbiran di sekolah itu membawa pulang kakak manakala pak long pula mengambilku. Tapi, sebelum kami tiba di rumah pak long, pak long membawaku ke kedai makan.
“Makanlah nasi dulu. Ambil saja lauk apa yang nak.” Kata pak long seakan memberi arahan.  Yang hairannya, pak long hanya melihatku makan, tapi tidak dirinya. Aku yang tidak berselera makan hanya memilih nasi berlaukkan ayam masak merah. Itupun tidak ku habiskannya.
Kemudian, kami bertolak. Sebaik saja aku turun dari kereta, aku nampak kakak berada di ruang tamu rumah pak long, sedang menangis. Aku dengan muka ‘blur’ masuk ke rumah pak long.
“Hang tau tak kenapa pak long bawa hang balik?”Tanya kakak. Aku hanya menggeleng.
“Ayah meninggal.” Itu saja ayat yang mampu dituturkan oleh kakak. Tanpaku sedari, air mata mengalir di pipi. Telahanku benar. Aku tidak betah untuk berlama di rumah pak long. Tidak sabar rasanya untuk melihat wajah ayah buat kali terakhir. Kami pulang bersama-sama. Perjalanan mengambil masa selama sejam untuk tiba di rumah. Begitu ramai orang kampung datang untuk melawat jenazah, ada juga yang sedang menyiapkan keranda untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan. Aku tidak pedulikan semua itu. Aku terus masuk ke rumah untuk menukar baju sekolah ke baju kurung. Jenazah ayah tidak ditempatkan di rumahku tapi ditempatkan di rumah tok. Rumah tok berhadapan dengan rumah aku. Tambahan pula, rumah tok lebih besar daripada rumah kami, jadi orang ramai mudah berkumpul di rumah tok. Kemudian aku ke tempat dimana ayahku di tempatkan. Bacaan Yaasin terus berkumandang sebagai hadiah untuk ayah.

DETIK-DETIK TERAKHIR
Aku bertanyakan mak bagaimana ayah menghadapi detik-detik terakhirnya. Mak tidak menceritakan secara terperinci. Kata mak, pada malam sebelum ayah meninggalkan kami, ayah berasa panas. Badan lenguh-lenguh. Ayah meminta mak urutkan. Ayah buka semua tingkap dan pintu. Katanya panas. Pagi esoknya, mak ajak ayah ke klinik disebabkan ayah tidak dapat bangun untuk ke sekolah. Ayah bekerja sebagai seorang guru matematik di sekolah rendah. Mak meminta bantuan pak njang. Mujurlah pak njang tinggal berdekatan dan mempunyai kereta. Disebabkan waktu masih terlalu awal, klinik kerajaan yang berdekatan masih belum memulakan operasinya. Lalu, pak njang membawa ayah ke klinik swasta. Aku tidak tahu apa yang berlaku di sana. Mengikut cerita mak, ayah meninggal sewaktu berada di klinik.
Ya Allah, lindungilah ayahku dari azab seksaan kubur dan seksaan api neraka. Serta tempatkanlah ayahku bersama-sama para solihin…amiiiin…

KENANGAN
            Setelah keputusan peperiksaan UPSR dikeluarkan, Alhamdulillah, Allah telah memakbulkan doaku. Dengan keputusan yang cemerlang, dapatlah aku melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama. Doaku, biarlah sekolah manapun asalkan sekolah itu berasrama. Aku tidak mahu meneruskan pelajaranku di sekolah harian biasa.
            Dalam menguruskan persekolahanku ke tingkatan 1, ayahlah yang paling sibuk. Ayah menguruskan segala dokumen yang diperlukan untuk memasukkan aku ke SMKA Kerian. Pada masa yang sama, kakak terus-terusan memberitahu bahawa Bahasa Arab tu susah. Aku yang belum pernah belajar Bahasa Arab, berasa takut dengan kenyataan itu. Walaupun kakak tidak bersekolah di sekolah agama, tetapi ayah menempatkan kakak di sekolah yang mempunyai aliran agama. Bagi ayah, biarlah anak-anaknya belajar Bahasa Arab kerana bahasa itu bahasa syurga (lughatul jannah).
            “Mak, bagitaula kat ayah saya tak mau masuk SMKA Kerian.” Mak yang kasihankan aku, menberitahu ayah.
            “Tak pa la. Cubala dulu belajar Bahasa Arab tu. Kalau tak boleh bawa juga sampai ke tingkatan 3, nanti bila masuk tingkatan 4, boleh ayah masukkan ke MRSM.” Kata ayah.
            “Tengok macam anak cikgu Salleh. Anak dia dapat 8A 1E. Bahasa Arab dia dapat E. Cikgu Salleh masukkan dia ke MRSM sewaktu tingkatan 4.”sambung ayah lagi.
            Aku terpaksa akur dengan kehendak ayah. Mungkin ayah lebih mengetahui daripadaku yang baru hidup setahun jagung ni. Ayah lebih berpengalaman dalam hidup. Alhamdulillah, setelah aku mula belajar mengenali Bahasa Arab, subjek inilah yang menjadi salah satu daripada subjek kegemaran. Mungkin berkat doa daripada ayah juga. Tapi, ayah, belum sempat anakmu ini membuktikan kejayaan dalam pelajaran, engkau terlebih dahulu meninggalkan kami. Mahu saja aku memberitahu, “ayah, benar katamu. Bahasa Arab bukanlah sesusah mana. Jika belajar dengan hati, insyaAllah akan dapat apa yang kita nak.”

terpancar kebanggaan
dalam senyummu
melihatku berjaya
bilaku kegagalan
tak kau biarkan
aku terus kecewa
dengan kata azimat
engkau nyalakan semangat
restu dan doa kau iringkan

tak dapatku bayangkan
hidupku ayah
tanpa engkau disisi
semua kasih sayang
yang kau curahkan
tersemat dihati.....

Indahnya lirik ini tapi ianya bukanlah realiti buat diri ini. Semoga sesiapa yang masih mempunyai ayah, hargailah dia. Balas jasa dan budinya dan berdoalah untuknya.

Comments (0)

Catat Ulasan